Dimaklumkan bahawa Universiti memandang amat serius terhadap penularan wabak COVID-19 yang berlaku pada masa ini.
Terkini, seorang pelajar UTMKL telah disahkan positif ujian COVID-19 dari kluster Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur. Sehubungan dengan itu, sekali lagi Universiti memberi AMARAN agar semua staf/pelajar yang menyertai Perhimpunan Tabligh yang berlangsung di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari 2020 hingga 1 Mac 2020 untuk SEGERA MENJALANI PEMERIKSAAN COVID-19 di Pusat Kesihatan Universiti atau Pejabat Kesihatan Daerah. Arahan ini termasuk kepada staf/pelajar yang telah melepasi tempoh 14 hari dari tarikh perhimpunan tetapi belum hadir untuk menjalani pemeriksaan lagi.
Sehingga 17 Mac 2020, seramai 35 staf dan 14 pelajar UTM (peserta perhimpunan dan kontak rapat dengan kes positif) telah direkodkan menjalani pemeriksaan COVID-19. Oleh itu, Universiti menyeru dan merayu mana-mana staf atau pelajar yang terlibat tetapi masih belum menjalani pemeriksaan COVID-19 untuk hadir dengan KADAR SEGERA.
Staf/pelajar yang diketahui menyertai perhimpunan ini tetapi gagal melaporkan diri selewat-lewatnya 21/3/2020 untuk menjalani pemeriksaan boleh diambil tindakan tatatertib dan juga diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
Diharapkan agar semua pihak dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memastikan kawalan wabak COVID-19 dapat dilakukan dengan baik di peringkat Universiti Teknologi Malaysia dan menjamin kesejahteraan warga UTM.
Sekian, terima kasih.
PENDAFTAR
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA