Assalamu’alaikum, Salam Sejahtera Warga UTM,
Semoga seluruh warga UTM, ahli keluarga kita, sahabat handai dan seluruh warga Malaysia dan lain-lain negara yang menghadapi ancaman COVID19 terpelihara dari musibah. Hari ini hari ke 3, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan UTM sedang melaksanakan perintah ini.
1. Mohon kita semua sama-sama terus mematuhi perintah ini dan sentiasa berdisiplin mengamalkan segala nasihat dan panduan Kementerian Kesihatan. Seperti mana pesan YAB Perdana Menteri, ‘stay where you are’
2. Jika kita gagal mematuhinya, kita khuatir, kerajaan terpaksa mengambil tindakan lebih drastik dan lebih membimbangkan wabak COVID19 akan menular lebih dahsyat. Sama-sama kita berusaha mematuhinya dan terus berdoa agar wabak ini dapat disekat secepat mungkin.
3. Berkaitan dengan perkara ini, saya sekali ingin mengingatkan supaya warga UTM (staf dan pelajar) yang menyertai program di Masjid Sri Petaling, sekiranya belum mengisytiharkan diri kepada PKU, mohon segera lakukan sedemikian. Agar kita boleh menutup kes ini di UTM. Sebagaimana telah dimaklumi ada 35 staf dan 14 pelajar (KL dan JB) yang telah memberi kerjasama. Dan kita telah mengambil tindakan sewajarnya. Sehingga kini dengan langkah yang telah diambil, insyaAllah tiada risiko kepada warga UTM.
4. Walaupun hari ini kita bercuti di Johor, untuk maklumat semua warga UTM, Task Force COVID19 terus menjalankan tugas. Setelah keadaan agak tenang berbanding 2 hari pertama, kini kita memberi tumpuan kepada kebajikan pelajar yang tinggal di kolej, JB dan KL.
5. Hari ini kita lancarkan kutipan Tabung COVID19 UTM bagi tujuan membantu pelajar dan juga menampung perbelanjaan mencegah jangkitan.
6. Dan sambutan sangat luar biasa. Selepas beberapa jam di lancarkan, pada jam 6 pm tadi, kutipan mencecah RM100k. Yayasan Raja Zarith Sofiah telah menyumbang RM50k. Menjunjung Kasih Tuanku. Dan jutaan terimakasih kepada semua yang menyumbang. Semoga diberikan ganjaran sebaiknya insyaAllah.
7. Dengan kadar kutipan begitu, dan pengumuman Kerajaan untuk membiayai makanan pelajar, UTM telah memutuskan untuk menyediakan makan tengahari dan makan malam kepada semua pelajar (tempatan dan antarabangsa) di JB dan KL, sehingga berahir tempoh PKP insyaAllah.
8. Makanan ini dibekalkan oleh café-café yang beroperasi di UTM.
9. Dengan cara ini, pelajar tidak perlu keluar dari kampus dan ini sangat membantu dalam mencegah risiko jangkitan.
10. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menguruskan pelbagai urusan bagi mempastikan kebajikan pelajar kita terjaga dengan baik. Semoga semua urusan kita dipermudahkan.
11. Kami di peringkat Pengurusan akan sentiasa memantau agar tiada kesulitan yang timbul. Kebajikan staf juga menjadi perhatian kami. Kita sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumbalas, pandangan dari warga UTM.
12. Jika ada kekeliruan atau tidak jelas atas sebarang perkara/arahan boleh hubungi kami. Kita tidak mau keadaan lebih kusut dan bercelaru dalam kita hadapi keadaan yang mencabar ini.
13. Sama-sama kita terus berdoa memohon agar kita semau terpelihara dari musibah ini.
Sekian terima kasih
‘Stay where you are and stay safe’
Wahid
36, TSPP
(Day 3 work from home)